skip to main |
skip to sidebar
Budaya & Persekitaran Organisasi
Pengurus omnipotent (maha berkuasa) = merupakan pengurus yang bertanggungjawab ke atas kejayaan atau kegagalan sesebuah organisasi.
Pendapat mengenai pengurus yang omnipotent melihat pengurus sebagai seorang yang sangat berkuasa, mempunyai pengetahuan tentang semua perkara dan dapat melihat semua situasi. Tindakan pengurus merupakan penyebab utama kejayaan atau kegagalan sesebuah organisasi. Salah satu contoh yang paling baik untuk menerangkan pengurus omnipotent ini ialah pengurus di negara Jepun. Sekiranya berlaku peristiwa atau kejadian yang boleh menjatuhkan martabat atau keuntungan syarikat, pengurus menjadi orang pertama yang dipersalahkan dan berhenti kerja. Ada juga yang sanggup membunuh diri.
Walau bagaimanapun, dalam dunia realiti, pengurus bukanlah seorang yang berkuasa sepenuhnya ke atas kejayaan atau kegagalan sesebuah organisasi. Terdapat faktor-faktor luaran yang menjadi pemangkin kepada kejayaan dan kegagalan ini. Contohnya dalam organisasi kewangan atau pelaburan, hipotesis pasaran cekap mengatakan bahawa harga saham dapat menggambarkan ekonomi dan syarikat yang disenaraikan dalam bursa saham. Berdasarkan hipotesis ini juga, tiada seorang individu yang dapat menandingi pasaran saham. Sebaliknya, bagi penganalisis bursa saham Wall Street, mereka percaya bahawa kejayaan atau kegagalan seseorang pelabur/syarikat adalah bergantung kepada tuah/nasib.
Sebagai kesimpulannya, pengurus mempunyai pengaruh terhadap kejayaan atau kegagalan organisasi. Walau bagaimanapun pengaruh tersebut bukanlah faktor utama perkara ini berlaku kerana pengurus bukanlah seorang yang berkuasa dan bukan juga seorang yang lemah.
Budaya organisasi
Setiap organisasi mempunyai budayanya sendiri. Budaya yang dipegang oleh organisasi merupakan sesuatu yang boleh didefinisikan sebagai cara/kaedah yang betul untuk melakukan sesuatu. Setiap organisasi ini mempunyai ciri-ciri yang tersendiri yang perlu ada pada pekerja mereka. Pengurus akan memberi ganjaran kepada pekerja yang menurut budaya yang diterapkan tetapi akan menghukum pekerja yang tidak mematuhi budaya tersebut. Setiap ciri-ciri, amalan, perbuatan, ganjaran dan hukuman adalah berbeza antara organisasi.
Budaya organisasi selalunya akan stabil dan tidak berubah berdasarkan kepada kaedah merekrut pekerja dan bagaimana pekerja itu mengadaptasikan diri kepada budaya sesebuah organisasi. Organisasi akan mengambil pekerja yang boleh menerima budaya yang diamalkan. Setelah berjaya, pekerja ini akan melalui proses orientasi dan latihan bagi membentuk mereka selaras dengan apa yang dikehendaki oleh organisasi tersebut. Justeru, organisasi selalunya akan memilih, menarik dan mengekalkan mereka yang mempunyai ciri-ciri umum (common characteristics). Ciri-ciri umum inilah yang akan menjadi penghalang utama kepada perubahan budaya sebaliknya dapat mengekalkan kestabilan budaya tersebut.
Bagaimana kita boleh mengetahui budaya yang diamalkan oleh sesebuah organisasi? Terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan bagi mengenalpasti budaya yang diamalkan oleh organisasi di mana kita ingin bekerja. Antaranya ialah;
1. Perhatikan keadaan sekeliling pejabat - kenalpasti sekiranya ada papan tanda tertentu, gambar, cara berpakaian, perabot pejabat
2. Dengan siapa anda akan bertemu? Dapatkan maklumat siapa yang akan menemu-duga anda. Kenalpasti bakal rakan sekerja, eksekutif senior, pengurus dari jabatan lain dll.
3. Bagaimana anda mengenalpasti ciri-ciri kakitangan organisasi tersebut? Kenalpasti sama ada mereka mempunyai ciri-ciri formal, kasual, serius/bersungguh-sungguh, ceria semasa bekerja.
4. Selidik sekiranya organisasi tersebut mempunyai undang-undang atau tatatertib yang ditetapkan dalam manual polisi personaliti. Sekiranya ada, sejauhmana kandungan manual tersebut mudah untuk difahami.
5. Bertanya soalan kepada kakitangan di organisasi tersebut dan sebaiknya ajukan soalan yang sama dengan kakitangan yang berbeza bagi melihat sama ada mereka mempunyai pendapat yang sama tentang organisasi tersebut. Sekiranya pendapat mereka sama bermakna budaya yang diamalkan di organisasi tersebut adalah kuat dan stabil.
Kestabilan sesuatu budaya itu adakalanya baik dan kadang-kala buruk/negatif. Kestabilan budaya organisasi dalam keadaan baik/positif sekiranya organisasi berhadapan dengan keadaan persekitaran yang kekal dan tidak berubah. Budaya yang stabil ini akan bertindak menyatukan organisasi tersebut dengan menyediakan panduan kepada pekerja tentang apa yang patut diperkatakan dan apa yang perlu dilakukan. Budaya yang tidak stabil atau negatif pula berlaku sekiranya budaya itu berhadapan dengan situasi atau persekitaran yang dinamik. Sesetengah keadaan, budaya seperti ini akan menjadi halangan utama kepada perubahan yang ingin dilakukaan dan ia menghadkan keupayaan organisasi untuk beradaptasi dengan keadaan persekitaran.
Budaya organisasi yang kuat akan menghalang/menghadkan idea yang baru dan perubahan sekiranya budaya tersebut tidak menerima pendapat yang boleh menyebabkan berlaku konflik di kalangan ahli-ahli dalam organisasi. Sesetengah budaya yang kuat adakalanya boleh menerima budaya yang baru dan membenarkan pertentangan pendapat. Walau bagaimanapun, daripada kajian dan pengumpulan data yang dibuat menunjukkan perkara sebaliknya.
Bagi pengurus yang mempunyai budaya yang bertentangan dengan budaya organisasi selalunya tidak akan berada lama dalam organisasi. Sekiranya terdapat pengurus yang tidak bersetuju dengan budaya yang diamalkan, organisasi tidak akan mengambil inisiatif untuk memujuk atau mengubah pandangan pengurus mereka. Begitu juga dengan pengurus tadi menyedari pertentangan budaya ini menyebabkan kadar kepuasan bekerja akan menurun dan mereka mula mecari peluang kerja di organisasi yang lain. Perbezaan pendapat tentang budaya organisasi ini merupakan punca utama pengurus dipecat atau meletak jawatan.
Persekitaran organisasi
Seseorang pengurus akan mengenalpasti persekitaran organisasinya dengan menentukan siapa yang lebih mempengaruhi pencapaian organisasi. Persekitaran organisasi ini termasuklah pelanggan, pesaing, pembekal, agensi kerajaan, media dan kumpulan yang mempunyai hak istimewa terhadap organisasi tersebut. Contoh mudah yang boleh diberikan ialah perbandingan di antara Boston University (sekolah swasta) dan University of Massachusetts (sekolah kerajaan) yang terletak 5 kilometer antara satu sama lain. Persekitaran yang dapat dikenalpasti bagi Boston Uni ialah para alumni kerana sejumlah dana yang disalurkan adalah daripada alumni mereka. Manakala U-Mass pula, persekitaran yang dikenalpasti boleh mengancam pencapaian organisasi tersebut ialah kerajaan tempatan kerana dana yang disalurkan bergantung kepada bajet kewangan kerajaan tempatan.
0 comments:
Post a Comment